Di dalam sebuah taman
bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa
gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu
terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia,
kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap
hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke
pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada
rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka
sering bermain dan menyanyi bersama-sama.
Pada suatu hari,
belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua
sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan
tiba. Belalang tidak percaya hujan akan tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi
dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur
kerana keletihan. Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa
sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan.
“ Bila hujan berhenti
bolehlah saya mencari makanan,” katanya dalam hati. Belalang berbaring semula
dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang
berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan
sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak
mengetahui keadaan belalang yang sakit. Apabila hujan berhenti,lebah teringat
akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat
terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah.
“Saya akan membawa
makanan,” kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan
pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang.
Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat
daripada rakannya.
No comments:
Post a Comment
semua yang di tulis adalah berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian ummi sahaja.